KUALA LUMPUR | Secara keseluruhan, sebanyak 15.6 peratus daripada semua remaja di Malaysia berusia di antara 15 hingga 19 tahun menggunakan produk tembakau.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data itu diperolehi berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019.
Katanya, sejumlah 11.6 peratus adalah perokok aktif dan 7.5 peratus menggunakan vape atau e-rokok.
“Ibu bapa yang prihatin, bukan perokok dan pesakit yang mengalami kesan buruk merokok mestilah menyuarakan sokongan. Tag Ahli Parlimen anda di media sosial, hubungi mereka atau hantarlah e-mel.
“Anda boleh melakukan perubahan dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara bagi memastikan kesejahteraan masa depan anak-anak kita,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 itu dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Rakyat, semalam.
Dr Noor Hisham berkata, bacaan kedua Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 dijadualkan pada minggu hadapan.
Katanya, Rang undang-undang berkaitan Generasi Penamat (generational end game, GEG) bertujuan untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan produk rokok/vaping pada semua mereka yang lahir pada tahun 2007 dan tahun-tahun selepasnya.