KUALA LUMPUR | Menjadi seorang pemimpin perlu memahami makna di sebalik kuasa dan tanggungjawab yang perlu difahami dan digalas sebaiknya.
Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata itu perkongsian tentang kehidupan apabila bertemu dengan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG yang menghadiri Konvensyen Kepimpinan melibatkan 27 institut perguruan dari seluruh negara, baru-baru ini.
“Saya berkongsi tentang kehidupan, makna di sebalik kuasa dan tanggungjawab yang perlu difahami dan digalas sebaiknya apabila diangkat sebagai pemimpin.
“Sebagai pemimpin di institusi masing-masing, pastinya ia memberi mereka ‘kuasa’ yang sebenarnya adalah satu ujian dalam menjalankan amanah yang di galas.
“Kepada bakal pemimpin masa depan negara ini, saya ingatkan bahawa kehidupan sebenar bukan segalanya tentang kuasa, pangkat, gaji dan juga kedudukan. Kehidupan sebenar dan penuh erti ialah apabila setiap tapak, langkah dan perjalanan kita itu ada jasa, budi dan jariah kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata selaku pemimpin perlu sentiasa ingat berhubung tujuan sebenar kehidupan dan berpegang kepada tujuan tersebut sepanjang hayat.
“Ingat, always keep grounded!.
“Buat anak-anak ini, manfaatkanlah peluang sebagai pemimpin dengan memberi yang terbaik untuk institusi masing-masing.
“Optimumkan potensi yang ada pada diri anda untuk merancang masa depan yang lebih gemilang,” katanya.