REMBAU | Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menunaikan terma-terma dalam perjanjian antara beliau dan Perikatan Nasional (PN) mungkin disebabkan tekanan dalaman dari UMNO-BN, khususnya segelintir ‘kluster mahkamah’ yang menguasai parti.
Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sembilan, Iskandar Dzulkarnain Abdul Rahim berkata beliau mencadangkan agar jalan terbaik yang perlu diambil untuk kestabilan kerajaan sekarang adalah dengan mengadakan pemilihan UMNO, memandang Ismail Sabri daripada parti itu.
“Ini sekaligus melupuskan tanggapan bahawa UMNO-BN dikawal oleh ‘kluster mahkamah’ dan hanya menjadi alat individu tertentu melepaskan diri dari hukuman,” katanya ketika dihubungi Penerangan BERSATU.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN akan menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.
“Mesyuarat juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan YAB Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi termaterma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan Perikatan Nasional.
“Sehubungan itu, Perikatan Nasional memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui YAB Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan malam tadi, dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, Iskandar mempersoalkan tindakan pasif Ismail Sabri berhubung soal jawatan menteri di mana kuotanya daripada BERSATU.
Ini susulan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah mengumumkan keluar BERSATU dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Sudah dua bulan berlalu Zuraida keluar parti, jawatan menteri patut diganti dari kuota BERSATU.
“Soal Ismail Sabri nak kekal sokongan tidak wujud. Baru-baru ini, beberapa RUU yang dibentang telah mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen blok kerajaan di Dewan Rakyat yang memberi gambaran Ismail Sabri masih kekal mendapatkan sokongan majoriti.
“Saya gesa beliau melaksanakan apa yang telah dijanji dengan segera. Itu mencerminkan maruahnya sebagai seorang PM, jika tidak mahu dilihat sama seperti akhlak ‘kluster mahkamah’,” katanya.