KUALA LUMPUR | Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) adalah instrumen diplomasi ekonomi bertujuan bagi mengukuhkan kerjasama di antara Amerika Syarikat dengan negara-negara di rantau Indo-Pasifik.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, IPEF juga sebagai perangsang ke arah peningkatan daya saing, daya tahan ekonomi dan pemulihan ekonomi pasca-pandemik bagi negara anggota.
Katanya, pada masa ini, keanggotaan IPEF terdiri daripada 14 negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei Darussalam, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
“Malaysia dikenal pasti oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai salah sebuah negara perintis IPEF.
“Ini boleh dilihat sebagai satu pengiktirafan oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap Malaysia sebagai antara negara penting di rantau ini.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar yang terbuka dan kompetitif dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia sentiasa mengambil sikap terbuka dalam meneroka inisiatif serta platform yang relevan bagi meningkatkan prestasi perdagangan dan pelaburan asing di Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Steven Choong (PBM-Tebrau) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, kebanyakan negara ahli IPEF termasuk Amerika Syarikat, adalah rakan-rakan dagang dan pelabur utama Malaysia.
“Oleh itu, MITI berpandangan bahawa IPEF mampu meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi, keterangkaian (“interconnectedness”) dan kemakmuran serantau serta membantu dalam proses pemulihan ekonomi negara.
“Aspirasi IPEF adalah seiring dengan usaha menggalakkan kemampanan ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), agenda kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) serta dasar-dasar semasa yang berkaitan,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, MITI berpandangan penyertaan Malaysia dalam IPEF akan dapat meningkatkan lagi keyakinan pelabur dan syarikat-syarikat dari pelbagai negara bagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan rakan dagang utama.