KUALA PERLIS | Sebuah bot yang menangkap siput secara haram di perairan negara ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis pagu tadi.
Bot berkenaan ditahan di kedudukan 4.5 batu nautika dari barat Kuala Sanglang jam 3.15 pagi dan turut dirampas adalah sebuah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM105,000.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya turut menahan tekong dan lima awak-awak yang berusia antara 38 hingga 55 tahun yang berada di atas bot.
Katanya, mereka ditahan menerusi rondaan Op Aman dan Op Benteng Laut di sekitar perairan Perlis selepas menerima maklumat daripada orang awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis mengenai pencerobohan kawasan tangkapan siput oleh bot itu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu yang berpangkalan di Jeti Kuala Kedah menceroboh masuk ke Perairan Perlis menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (3) (C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Ini adalah tangkapan ketiga dalam bulan yang sama membabitkan bot Kelas A ditahan di perairan Perlis,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.