KUALA LUMPUR | Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan penggulungan mengenai usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, sebagai cukup jelas dan berfakta.
Beliau berkata penggulungan yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diharap tidak menjadi apa-apa alasan untuk mana-mana pihak menentang usul tersebut.
“Dengan pelanjutan SOSMA bulan Ogos nanti, keselamatan negara akan lebih terjamin dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan tugasan mereka memelihara keselamatan negara dengan lebih tersusun dan efisien lagi.
“Alhamdulillah hari ini saya bersama-sama ahli Dewan Negara yang lain telah mengundi dan bersetuju dengan pelanjutan SOSMA!
“Tahniah Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas kejayaan pertahankan SOSMA di Dewan Rakyat dan Dewan Negara!” katanya dalam kenyataan ringkas pada Rabu.
Semalam, sidang Khas Dewan Negara meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.
Usul dibentang oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Ketika membentangkan usul itu, Hamzah berkata, Subseksyen 4(5) perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.
Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.
Hamzah ketika menggulung perbahasan usul itu menafikan pelanjutan subseksyen itu membolehkan berlakunya penindasan mahupun kezaliman terhadap tahanan.
Hamzah berkata, hak asasi individu, hak berjumpa peguam dan hak supaya waris dimaklumkan mengenai tangkapan berkenaan sudah sedia ada dalam akta itu.
“Seksyen 5 SOSMA memperuntukkan hak kepada suspek untuk dimaklumkan sebab tangkapan. Kita tangkap dan kita maklumkan kepada dia sebab apa (ditangkap).
“Kemudian, hak suspek untuk berjumpa peguam, ada dalam akta itu sendiri. Hak untuk dimaklumkan kepada waris kadim, juga ada. Selain itu, suspek juga diberikan hak untuk dibicarakan di mahkamah di bawah Seksyen 12 SOSMA,” katanya.
Seramai 24 Senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul berkenaan.
Pada Selasa, usul itu diluluskan Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.