BANGKOK | Ahli politik Thailand mula pening kepala dan bimbang kebenaran penggunaan ganja bagi tujuan tertentu di negara itu, akan disalah guna.
Justeru, sekumpulan pegawai kerajaan mengambil langkah untuk mengekang populariti ganja secara meluas, dengan mengusulkan resolusi baharu mengharamkan semua bentuk rokok yang menggunakan ekstrak ganja.
Lapor thethaiger.com, Jawatankuasa Kawalan Hasil Tembakau Kebangsaan mengemukakan resolusi itu dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul.
Resolusi itu antara lain melarang penjualan rokok elektronik, vape, rokok tradisional dan cerut yang menggunakan ekstrak ganja.
Larangan itu dilihat akan menjejaskan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi.
Malah, ia dikatakan turut memberi kesan kepada kira-kira sejuta orang yang sudah mendapat permit untuk menanam, menjual atau menggunakan tanaman tersebut termasuk premis perniagaan yang menjual produk ekstrak ganja terutamanya di kawasan pelancongan.
Kementerian Kesihatan Awam kini akan menetapkan peraturan dalam usaha mewujudkan garis panduan
baharu bagi larangan rokok atau e-rokok yang mengandungi ganja.
Peraturan itu juga akan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat serta polis.
Sementara itu, Anutin berkata, kerajaan dan kementeriannya sentiasa menentang penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi.
Malah, katanya, draf rang undang-undang asal yang membawa kepada `penghalalan’ dadah di negara itu tidak pernah menyatakan secara jelas bahawa idea penggunaan dadah bagi tujuan rekreasi dibenarkan. SUMBER: AGENSI