MANILA | Sebahagian besar penduduk takut untuk pulang ke rumah selepas ratusan gempa susulan berlaku berikutan gempa bumi sekuat 7.0 skala Richter menggegarkan utara Filipina kelmarin.
Setakat ini, seramai lima orang disahkan terkorban dan lebih 150 cedera apabila gempa bumi kuat itu melanda wilayah Abra.
Gempa bumi itu menyebabkan banyak bangunan runtuh, tanah runtuh dan menggegarkan bangunan tinggi yang terletak ratusan kilometer di Manila.
“Gempa susulan berlaku hampir setiap 15 hingga 20 minit sejak semalam.
“Ramai penduduk yang sanggup tidur di luar kerana mereka risau sekiranya berlaku lagi gempa bumi kuat yang boleh meruntuhkan rumah mereka,” kata seorang pemilik restoran, Reggi Tolentino.
Bencana alam itu menyebabkan ratusan bangunan musnah dan runtuh, jalan-jalan utama ditutupi tanah runtuh dan bekalan elektrik juga terputus di beberapa wilayah lain.
Namun, keadaan di Abra disifatkan ‘tidak terlalu serius’ biarpun titik gempa berpusat di wilayah tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Abra, Maly Cula kepada AFP.
“Di Abra, tidak banyak penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara walaupun ramai dalam kalangan mereka tidur di luar kerana bimbang dengan gempa susulan,” ujarnya.
Lebih 800 gempa susulan direkodkan sejak gempa bumi itu berlaku, termasuk 24 gempa yang cukup kuat untuk dirasai.
Gempa yang berlaku kelmarin merupakan satu daripada gempa terkuat pernah berlaku di Filipina sejak beberapa tahun ini dan gegarannta boleh dirasai sehingga Pulau Luzon.
Pada Oktober 2013, gempa bumi sekuat 7.1 melanda Pulau Bohol di tengah Filipina, menyebabkan lebih 200 orang terbunuh. – sumber: AFP