KOTA BHARU | Dua mangsa cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di susur hadapan Pejabat Pos Kubang Kerian arah ke Kota Bharu di sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 12.15 tengah hari itu, dua mangsa berkenaan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kemalangan berlaku ketika lelaki berusia 34 tahun memandu kereta Proton Wira
dari arah Pasir Tumbuh Ke Kota Bharu.

Katanya, sebaik sampai di susur hadapan Pejabat Pos Kubang Kerian arah ke Kota Bharu, Proton Wira disyaki dipandu dengan laju ketika mengambil selekoh sebelum hilang kawalan lalu terlanggar pembahagi jalan.
“Kenderaan itu kemudian merempuh bahagian sisi sebelah kanan serta melanggar dua tiang lampu sehingga terbalik dan merintangi laluan sebelah kiri jalan menghala ke Kota Bharu.
“Akibat dari kemalangan ini pemandu dan penumpang mengalami cedera ringan luka luka luaran dan dirawat di HUSM, manakala pemandu kereta Proton X70 yang berusia 37 tahun tidak cedera,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu Proton Wira mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.
Menurutnya, lelaki itu direman selama empat hari sehingga 2 Ogos depan untuk siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.