BACHOK | Kilang dan perniagaan tempatan digalakkan menggaji golongan muda, Orang Kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal bagi membantu golongan itu menjana ekonomi keluarga.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usaha itu dilihat bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan bahkan memberi peluang anak muda tempatan menyumbangkan idea dan kreativiti mereka dalam industri tempatan.
Katanya, beliau akan mengusulkan bantuan berbentuk dana atau insentif kepada kementerian yang sepatutnya untuk membantu pengusaha kilang tempatan membeli mesin yang lebih efisien agar penghasilan produk lebih tinggi dan mampu dieksport ke luar negara.
“Ini satu perkara yang amat bagus yang saya amat kagum melihat usaha yang dibuat oleh kilang ini dan juga pertubuhan yang terbabit sama.
“Insya-Allah, sebagai Timbalan Menteri Perpaduan, walaupun bukan di bawah bidang kuasa, tetapi saya selaku sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan akan usulkan perkara ini kepada menteri berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak Perusahaan Inisiatif Belia Bekerja (IBB) di Kilang Projek D’Raja Kelantan, Pusat Pengembangan Ekonomi Desa, di sini, semalam.
Kilang yang mempunyai 55 pekerja terdiri daripada golongan belia, ibu tunggal dan OKU itu menghasilkan produk gentian organik daripada sabut kelapa yang diproses menjadi pelbagai produk termasuk berus sabut, tilam, kusyen, tali selain untuk kegunaan industri perkapalan.
Dengan jangkaan lebih banyak produk yang akan dihasilkan seperti santan kelapa dan kerisik, memerlukan 150 pekerja bagi memenuhi permintaan pasaran.