KUALA LUMPUR | Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau terkenang pahit manis saat negara berdepan pandemik COVID-19 apabila melihat usahanya itu dibukukan dan dilancarkan semalam.
Buku bertajuk “Muhyiddin Yassin: Leading A Nation In Unprecedented Crisis semalam telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Buku tersebut merupakan hasil karya sahabat Muhyiddin iaitu Datuk Abdul Mutalib Razak yang merupakan bekas Pengerusi Media Prima dan diterbitkan oleh Yayasan Pendidikan Islam.
Tambah Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, berkata pandemik COVID-19 benar-benar telah menguji kekentalan semangat dan kecekalan rakyat Malaysia, daya tahan ekonomi dan kapasiti sistem kesihatan negara.
“Membelek halaman dalam buku yang baharu diterbitkan itu, saya terkenang, pahit manis, jerit perih yang pernah kita semua lalui bersama ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Sebagai pemimpin No 1 negara ketika COVID-19 diisytihar sebagai satu pandemik global, banyak keputusan yang sukar yang terpaksa saya ambil untuk kepentingan rakyat jelata,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata buku biografi itu mengabadikan detik mencabar dihadapinya yang mengambil alih tampuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelapan ketika pandemik COVID-19 melanda.
Katanya, sebagai Perdana Menteri ketika itu, beliau perlu menyeimbangkan tuntutan menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Tiada panduan, atau ‘playbook’ yang boleh menjadi rujukan, mana-mana pemimpin negara ketika itu untuk berhadapan dengan krisis seperti ini.
“Namun alhamdulillah, berkat sokongan dan kerja sepasukan daripada ahli-ahli kabinet dan kakitangan kerajaan, kita telah berjaya mengemudi negara dari awal pandemik, ke akhirnya menyediakan Pelan Pemulihan Negara yang sistematik di mana negara mampu keluar dengan teratur dan selamat daripada pandemik dan beralih ke fasa endemik,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata terdapat 3 cabaran utama dalam respon pandemik adalah pertama mengenai masa dan kepantasan respon.
Katanya, ini kerana negara mengejar masa kerana kadar penularan virus ini ternyata cepat.
“Jika kita tidak bertindak tepat pada masa, ramai yang akan menjadi mangsa.
“Namun pada masa yang sama, kita juga tidak tahu banyak mengenai virus ini, sifatnya, dan tiada panduan khusus bagaimana untuk menangani pandemik pada skala ini.
“Kecekapan, kesungguhan, dan semangat petugas-petugas barisan hadapan itu penting,” katanya.
Kata Muhyiddin, cabaran kedua pula adalah kapasiti kesihatan awam dan teknologi membangunkan vaksin.
Beliau berkata pengurusan kapasiti itu penting dan negara perlu memastikan bilangan katil, ventilator dan staf perubatan adalah mencukupi dan sistem kesihatan awam tidak runtuh.
“Saya secara khusus ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh petugas barisan hadapan yang telah bekerja keras dan berkorban masa dan tenaga bukan sahaja untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19, tetapi juga telah melaksanakan program vaksinasi dengan jayanya,” katanya.
Muhyiddin juga berkata cabaran ketiga adalah kedudukan kewangan negara.
Katanya, apabila negara memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sektor ekonomi ditutup kecuali perkhidmatan perlu, kerajaan harus terus membantu rakyat dan perniagaan untuk terus bertahan.
“Baik bantuan tunai, subsidi upah mahupun bakul makanan, moratorium pinjaman bank dan pengecualian sewa premis milik kerajaan.
“Kerajaan berusaha membantu seramai mungkin mereka yang terkesan melalui 8 pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM 530 billion.
“Ini termasuk membeli vaksinasi dan memulakan Program Immunisasi Covid Kebangsaan (PICK) yang terbesar dan terpantas dalam sejarah negara dengan jayanya,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata sudah tentu, tidak semua yang dilakukan ketika beliau memimpin kerajaan itu sempurna.
Namun, beliau dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan kerajaan pada masa itu telah berusaha melakukan sebaik mungkin.
“Setiap kudrat saya ketika itu adalah untuk mencari ikhtiar menyelamatkan rakyat dan mengurangkan bebanan yang ditanggung.
“Seperti yang saya sering ingatkan ketika itu, untuk menangani pandemik ini kita memerlukan pendekatan “whole of nation” di mana semua jentera Kerajaan digerakkan, bersama sektor swasta dan segenap lapisan masyarakat untuk melindungi diri dan keluarga,” katanya.
Tambahnya, berkat usaha semua negara berjaya keluar dari fasa pandemik dan beralih ke fasa endemik kini.
Beliau berkata semangat juang setiap rakyat Malaysia dalam memerangi Covid-19 ini perlu digembleng sekali lagi dalam negara berusaha memulihkan negara pasca-pandemik.
“Saya sentiasa berdoa dan berharap, agar Malaysia tidak mengalami ujian segetir pandemik Covid-19 ini di masa hadapan.
“Namun, jika kita masih perlu berhadapan suatu pandemik kelak, kita harus membuat persedian yang secukupnya.
“Kerajaan perlu terus melabur meningkatkan kapasiti kesihatan awam, menguruskan kewangan negara dengan baik supaya kita sentiasa mempunyai ruang fiskal untuk membantu rakyat di waktu kecemasan dan memastikan pemimpin kita bersedia dan berani melakukan keputusan yang benar dan tepat walaupun tidak popular demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.