KUALA LUMPUR | Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan tahniah kepada Muhamad Aznil Bidin yang menyumbangkan pingat emas kedua kepada Malaysia, pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Beliau yang sempat membuat panggilan video bersama Aznil semalam berkata kejayaan itu sangat manis untuk rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, ini kejayaan sangat manis untuk seluruh rakyat Malaysia. Pesan saya kepada Aznil, teruskan berjuang dan abadikan kemenangan ini untuk lebih kejayaan di masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal berkata kejayaan Aznil boleh dijadikan contoh kepada atlet lain.
Katanya, kejayaan beliau tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan seluruh pasukannya dan jurulatihnya.
“Tahniah Aznil. Kita harapkan tercapai segala impian kamu. Tahniah juga kepada jurulatih dan semua seluruh pasukan.
“Kejayaan kita bukan seorang tetapi pengorbanan seluruh keluarga, pegawai-pegawai dan jurulatih daripada mula sampai sekarang. Bukan kita seorang,” katanya melalui panggilan video bersama Aznil.
Skuad angkat berat negara terus mencipta sensasi apabila menyumbangkan pingat emas kedua kepada Malaysia, pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 semalam.
Muhamad Aznil memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional (NEC) apabila melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285 kilogram (kg) dalam kategori 61kg lelaki, sekali gus mencatat rekod baharu temasya.
Badang kelahiran Kedah itu, melakukan angkatan snatch 127kg dan 158kg bagi clean & jerk.
Kejayaan tersebut juga sekali gus membuktikan kehebatan atlet berusia 28 tahun itu, yang berjaya mempertahankan gelarannya yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Terdahulu pada saingan hari ini, Mohamad Aniq Kasdan menyumbangkan pingat emas pertama negara di temasya sukan berkenaan, apabila mengungguli kategori 55kg lelaki.
Kejayaan tersebut juga amat istimewa selepas kontinjen negara tidak menjelmakan kilauan pingat sejaktemasya sukan berkenaan dibuka secara rasmi pada Khamis (28 Julai) lepas.