KUALA LUMPUR | Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan digesa memohon maaf dan menarik balik secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isu basi.
Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri berkata kenyataan Mohamad Hasan itu telah melukakan hati, memalukan dan mencemarkan maruah seluruh bangsa Melayu.
“Orang Melayu seperti Mohamad Hassan inilah sebenarnya orang Melayu yang mudah lupa.
“Pada masa sama, rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat dingatkan, kemarahan dan kekecewaan akar umbi pada UMNO telah ditunjukkan melalui protes senyap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu apabila peratusan pengundi keluar untuk memilih calon, merosot dengan mendadak.
Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), rakyat akan menunjukkan protes seterusnya pada PRU15.
“Kemenangan calon BN pada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN dalam tempoh dua tahun lalu tidak boleh dianggap kerana kekuatan BN tetapi disebabkan faktor lain termasuk ketidaksepakatan pembangkang,” katanya.
Mengulas lanjut, Solihan berkata kenyataan pemimpin kanan BN itu mencerminkan nilai prinsip kepemimpinan UMNO yang cetek dan keangkuhan Mohamad.
Katanya, Mohamad tidak peka kerana menafikan sentimen akar umbi termasuk kemarahan rakyat terhadap penipuan serta penyelewengan kuasa oleh Datuk Seri Najib Razak dalam skandal itu untuk membolot kekayaan.
“Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan Bangsa Melayu dan negara.
“Jadi, bagaimana dalam satu tempoh yang singkat, Mohamad boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini,” katanya.
Jelasnya, Mohamad sebaliknya dengan ‘bangga’ mengatakan isu skandal 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat.
Katanya, maka itu satu lagi tragedi melanda Bangsa Melayu kerana memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa itu semata-mata untuk mempertahankan seorang pemimpin tertentu.
“Oleh itu, jika inilah cara bercakap, tahap kemampuan berfikir serta pegangan pemimpin UMNO seperti Mohamad, maka parti itu sudah tidak ada nilai lagi,” katanya.