KUALA LUMPUR | Kerajaan mengambil langkah lanjut untuk mengekang jenayah pencerobohan data peribadi, termasuk berusaha meminda beberapa fasal dalam akta berkaitan, bertujuan membolehkan penguatkuasaan yang lebih kukuh.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada masa sama, penggunaan teknologi tertentu juga boleh diteliti bagi mengukuhkan lagi usaha perlindungan data peribadi.
“Berdasarkan pengalaman kita hingga 2021, diakui hampir 100 juta data terbukti telah dicerobohi. Tindakan mengikut undang-undang, termasuk mendenda pihak melakukan kecuaian yang mengakibatkan pencerobohan data, sudah diambil.
“Isu ini berlaku secara berterusan dan kita faham ia agak rumit untuk diatasi, dan memerlukan langkah lebih lanjut untuk dikekang,” katanya. Beliau ditanya mengenai isu berkenaan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen, hari ini.
Annuar yang juga Pengerusi pasukan khas itu memaklumkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bertanggungjawab atas data peribadi dalam sektor komersial, manakala data lain adalah bawah tanggungjawab Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Jabatan Perdana Menteri.
Annuar menjelaskan pada masa sama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) perlu melihat penggunaan teknologi tertentu bagi mengukuhkan lagi perlindungan terhadap data.
Beliau berkata, jenayah penipuan yang berleluasa sehingga menyebabkan kerugian besar, turut menjadi tumpuan kementerian itu.
“Ini juga terkait dengan soal pindaan pada Akta Komunikasi dan Multimedia yang akan dibawa dalam masa terdekat ke Parlimen, untuk dilakukan beberapa penambahbaikan tertentu.
“Saya juga sedang melihat dan ingin menjemput beberapa pihak membuat pembuktian konsep (POC) bagi mengadakan alat atau perkakas supaya orang awam dapat menyemak apabila ada suatu panggilan yang dianggap sebagai penipuan,” katanya.
Annuar berkata, isu ketika ini ialah setiap syarikat telekomunikasi menyimpan data membabitkan nombor yang digunakan dalam kegiatan penipuan, namun orang awam tiada akses untuk mengetahui sama ada ia adalah daripada pengguna sebenar atau tidak.
Beliau berkata, berdasarkan hasil siasatan pihak K-KOMM, banyak pihak penipu yang menggunakan nombor individu telah meninggal dunia atau nombor tiada dalam perkhidmatan.
“Jadi, saya sedang melihat beberapa pendekatan untuk mewujudkan satu platform di mana apabila ada panggilan begitu, orang awam ada akses untuk terus menyemak panggilan itu daripada nombor apa.
“Adakah itu nombor daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan sebagainya, supaya kita dapat memberikan amaran awal kepada mereka yang mungkin hampir menjadi mangsa penipu, supaya menolak atau tidak menghiraukan panggilan sedemikian,” katanya.
Annuar berkata, beliau juga sedang meninjau langkah dilakukan di Indonesia dan Thailand berkaitan kaedah menangani jenayah penipuan.
“Ini sedang dalam pelaksanaan, malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah dimaklumkan untuk menjemput beberapa pihak bagi membuat POC ke arah mewujudkan satu platform membantu orang awam mengenal pasti penipu,” katanya. – SUMBER: BERNAMA