BIRMINGHAM | Dua jurulatih tempatan skuad gimrama negara yang dihantar ke sini bagi menggantikan jurulatih Russia sudah pun tiba, namun hanya seorang yang dapat masuk ke perkampungan sukan.
Pengurus pasukan, Corine Beh Yeat Chen berkata hanya Afrita Nasril yang dapat menyertai mereka di University of Birmingham manakala Lim Wen Chean berdepan masalah akreditasi.
“Jurulatih tempatan ini tiba di sini pada Sabtu lalu, namun Lim belum lagi masuk ke perkampungan sukan kerana masalah akreditasi. Mereka berdua sebelum ni pernah membawa pasukan kebangsaan di pertandingan antarabangsa,” katanya di sini.
Skuad gimrama negara sebelum ini berdepan masalah membawa bersama dua jurulatih mereka yang berasal dari Russia akibat sekatan visa kerajaan United Kingdom. Berikutan itu, Yulia Ivanova dan Udia Legotina tidak menyertai skuad negara selepas membimbing mereka membuat persiapan ke Sukan Komanwel 2022 di Mink, Belarus.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini dilaporkan berkata Afrita dan Wen Chean akan dihantar bagi menggantikan dua jurulatih Russia itu.
Dalam pada itu, Corine berkata tiga atlet yang menjadi sandaran pada temasya di sini, iaitu Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan berada dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia membawa cabaran negara.
“Setakat ini semua baik. Mereka berada dalam keadaan semangat berpasukan yang tinggi,” katanya.
Saingan bagi sukan gimrama dijadual berlangsung di Utilita Arena Birmingham di sini, pada Khamis ini. SUMBER: BERITA HARIAN