IPOH | Jurulatih penerbangan yang cedera dalam insiden pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini malam tadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata juruterbang berusia 62 tahun itu ketika ini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Semalam saya dengar ada khabar angin mengatakan juruterbang itu meninggal dunia, itu tidak benar,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pagi ini akan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.”Semalam kita membantu mereka mengepung tempat berkenaan agar tiada pencerobohan dibuat ke atas bangkai pesawat terbabit.
“Salah satu sayap pesawat berkenaan patah. Kita membuat kawalan sepanjang malam sehingga ke pagi ini bagi memberi ruang kepada pihak CAAM menjalankan siasatan,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, siasatan akan dilakukan CAAM dan kerajaan negeri meminta kaedah bagaimana langkah keselamatan dapat ditingkatkan.
“Pesawat terhempas hampir tengah pekan di mana orang ramai berada, pihak CAAM barang kali ada kaedah kaedah tertentu untuk mengelaknya daripada berulang,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi, seorang juruterbang maut manakala seorang cedera parah apabila pesawat Piper yang mereka naiki terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, Ipoh.
Mangsa, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, mengalami kecederaan. SUMBER: BERITA HARIAN