KUALA LUMPUR | Beberapa memorandum persefahaman (MOU) membabitkan nilai pelaburan lebih RM4 bilion dijadual ditandatangani sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
MAHA 2022 julung kali dijadual berlangsung secara hibrid dengan pameran fizikal akan dilaksanakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, dari 4 hingga 14 Ogos ini.
Ia akan mempamerkan sebanyak 1,500 reruai pameran, gerai jualan pemain industri dan usahawan tempatan, selain dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 6 Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata MAHA 2022 dijangka menghasilkan lebih RM250 juta potensi nilai jualan.
“Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan membabitkan lapan syarikat ejen pemasar dari luar negara sebagai satu daripada usaha membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai jangkaan manfaat akan terhasil menerusi penganjuran MAHA 2022 pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ronald berkata, penganjuran MAHA 2020 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ turut menyediakan peluang kerjaya kepada golongan muda serta graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair.
Beliau berkata, lebih 100 syarikat akan turut menyertai program yang menawarkan lebih 15,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor.
Selain itu, katanya, penganjuran MAHA 2022 akan menjadi platform utama dalam usaha kerajaan melalui kementeriannya bagi memacu pemulihan sektor agromakanan negara.
“Ia juga membantu usahawan tani untuk pulih semula dari aspek penjanaan sumber pendapatan dan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.