KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang meninggal dunia dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Perak, malam tadi.
“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan tentang pesawat jenis PIPER 28-161 terhempas di Sungai Rokam.
“Kemalangan ini mengakibatkan seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52 maut dan seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin mengalami kecederaan.
“Saya mendoakan agar Muhammad Din segera pulih dari kecederaan yang dialami,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya di sini, hari ini.
Beliau mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham Fajim Juffa dan didoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, pesawat ringan Piper 28 terhempas di tepi jalan raya berhampiran Sungai Rokam, Medan Gopeng meragut nyawa Fajim Juffa yang berasal dari Semenyih, Selangor manakala Muhammad Din Fikri dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.
Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.