BIRMINGHAM | Majlis Sukan Negara (MSN) masih tetap membantu sukan angkat berat di negara ini meskipun ia belum lagi dimasukkan kembali dalam program sukan teras.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata ia termasuk menanggung pasukan atau atlet menjalani latihan sepenuh masa dan menyertai kejohanan di luar negara.
Selain itu, katanya, pihaknya turut membantu pembiayaan penganjuran kejohanan peringkat tempatan yang dianjurkan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
“Walaupun sukan angkat berat dikeluarkan dari program sukan teras sebelum ini, ia tidak bermakna kita tidak menyokong atau membantu mereka.
“Malah terdapat juga peruntukan yang kita salurkan itu tidak jauh bezanya daripada sukan lain dalam sukan teras. Kita juga pernah membayar denda yang dikenakan kepada PABM bagi membolehkan atlet negara menyertai kejohanan.
“Selain itu kita juga masih membantu membiayai beberapa pusat latihan di beberapa negeri yang dikendalikan bersama majlis-majlis sukan negeri masing-masing,” katanya.
Pada 31 Julai lalu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan media merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya sukan angkat berat dimasukkan kembali dalam program sukan teras agar pembangunan bakat-bakat muda negara dapat giat dilaksanakan di semua peringkat bagi melahirkan lebih ramai lagi badang yang boleh mengharumkan nama negara.
Rayuan beliau itu hadir susukan kecemerlangan dipamerkan skuad angkat berat negara pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, menerusi kejayaan memenangi dua emas dan satu perak.
Pingat kejuaraan itu masing-masing diperoleh menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55kg dan Muhamad Aznil Bidin (61kg). Perak pula diperoleh melalui Muhammad Erry Hidayat bagi kategori 73kg.
peringkat kebangsan anatau antarabangsa.
Ahmad Shapawi berkata sukan angkat berat sebelum ini dikeluarkan MSN daripada program sukan teras akibat isu doping yang banyak membabitkan sukan berkenaan sehingga merugikan kerajaan.
Katanya, disebalik keputusan pihaknya itu masih ada segelintir mereka yang berterusan mengambil bahan terlarang itu bagi meningkatkan prestasi ketika bertanding di peringkat tempatan atau antarabangsa.
“PABM sendiri pernah dihukum oleh persatuan sukan angkat berat antarabangsa susulan kes doping berulang.
“Dan pada satu peringkat, mereka (PABM) mengambil tindakan sendiri untuk tidak menyertai sebarang pertandingan antarabangsa selama hampir setahun sebagai reaksi menunjukkan penekanan mereka terhadap isu doping ini.”
“Kita amat gembira dengan usaha berterusan PABM dalam memerangi doping dalam sukan mereka dan tidak mustahil, angkat berat akan kembali ke program sukan teras nanti.”
“Ini semua sebenarnya satu peringatan kepada PABM supaya menjadikan anti doping sebagai keutamaan baik diperingkat negeri atau kebangsaan,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN