PETALING JAYA | Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membincangkan secara terperinci dan memuktamadkan beberapa strategi serta pendekatan khusus parti itu bagi memperkukuh jentera dan menambah baik gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagi terus merancakkan penglibatan ahli-ahli bersekutu dalam gerak kerja jentera parti, mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Dr Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang baharu berkuat kuasa serta merta.
Katanya, untuk menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan golongan muda, mesyuarat bersetuju melantik Nurul Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja).
“Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat.
“Ianya juga mencerminkan kesiapsiagaan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 pada bila-bila masa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat MPT dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hamzah berkata, mesyuarat merakamkan ucapan setinggi tahniah atas kejayaan besar Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa pada 30 Julai lalu.