Birmingham | Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong akan turun berentap di final Sukan Komanwel Birmingham 2022, esok dengan harapan memperbaharui rekod kebangsaan dan berada dalam kedudukan 10 terbaik.
Beliau yang ditemui di perkarangan Stadium Alexander, gelanggang pertandingan olahraga Birmingham 2022 melahirkan keyakinan untuk mencapai sasaran itu.
Atlet berusia 30 tahun itu memegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22 meter (m) yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Malaysia pada 2019. “Saya harap dapat memperbaharui rekod peribadi saya yang sudah bertahan kira-kira tiga tahun pada temasya ini. Malah jurulatih sarankan seperti itu.
“Mungkin bukan mudah, tetapi saya harap dapat melakukannya. Tapi itulah saya sasaran mencipta rekod kebangsaan dan muncul 10 terbaik temasya ini,” katanya.
Sebelum sampai ke sini, Jackie memaklumkan dia perlu melalui proses kelayakan untuk ke final, namun sebaliknya hanya membabitkan atlet wanita negara, Grace Wong.
Beliau mengesahkan berada dalam keadaan cergas dan sihat bagi menghadapi saingan final selepas dijangkiti Covid-19 sebelum ini, selain berehat dua minggu sejurus kembali dari Sukan Sea Hanoi, Mei lalu.
“Saya harap kejayaan memenangi emas di Sukan Sea Hanoi dapat membantu memberi motivasi apabila turun beraksi pada final nanti,” katanya.
Sementara itu, jurulatih olahraga negara, Gu Yuan berkata, semua atlet negara termasuk Jackie dan Grace berada dalam baik meskipun cuaca agak sejuk di Birmingham. SUMBER: HARIAN METRO