KUALA LUMPUR | Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diingatkan untuk tidak mengambil jalan singkat dengan cuba melarang rakyat dari merokok.
Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan berkata Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang dibentangkan Khairy di Parlimen mungkin mempunyai matlamat yang baik namun bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Negara.
“Ini kerana Rang Undang-undang ini bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Negara iaitu kebebasan beragama dan kebebasan mengamalkan agama dan budaya setiap kaum.
“Dalam hal ini, rokok dan arak adalah amalan sebilangan mazhab dalam agama Hindu serta telah menjadi budaya sejak berkurun-kurun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Gobi, apa-apa undang-undang yang cuba mengubah perkara ini adalah bertentangan dengan hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Beliau berpandangan bahawa program kesedaran dan pendidikan itu lebih penting berbanding dengan cubaan mengawal penduduk melalui undang-undang.
“Seperti contohnya, mesej umum mengenai rokok dan arak di pawagam sebenarnya tidak langsung mengurangkan tabiat merokok atau meminum minuman keras, namun hanya menggalakkan lagi tabiat ini.
“Ini yang disebut psikologi terbalik atau ‘reverse psychology’ di mana sesuatu tindakan dilakukan bagi mencapai matlamat bertentangan,” katanya.
Gobi juga berkata beliau curiga apakah tindakan Khairy itu adalah satu lagi cubaan terselindung syarikat rokok untuk meningkatkan jualan mereka.
Katanya, malahan tindakan Khairy melonggokkan rokok dan vape dalam kategori yang sama nampak macam didalangi syarikat rokok untuk menghapuskan saingan mereka iaitu vape.
“Walhal banyak kajian di serata dunia yang menunjukkan bahawa vape adalah cara terbaik untuk mengurangkan jumlah perokok secara berperingkat.
“Namun fakta ini nampaknya tidak diendahkan oleh pihak berkuasa kesihatan negara,” katanya.
Jelas Gobi, Generational End Game (GEG) berkemungkinan satu lagi plot licik syarikat rokok untuk terus meningkatkan jumlah jualan mereka dengan menghapuskan saingan.