KUALA LUMPUR | Sebagai ‘hadiah’ kepada kejayaan Muhammad Azeem Fahmi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada ketika ini sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh yang menjadi lokasi latihan atlet pecut itu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia adalah bagi membolehkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga dapat dilahirkan pada masa akan datang.
“Sukacita saya ingin memaklumkan pihak KBS sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.
“Untuk makluman, SMK Gunung Rapat adalah sekolah kluster sukan yang sudah melahirkan ramai atlet termasuk Muhammad Azeem,” kata Ahmad Faizal dalam satu kenyataan dikeluarkan KBS, hari ini.
“Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak supaya nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa. Majulah sukan untuk negara!.”
Pagi tadi, Azeem, 18, menamatkan saingan final acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dengan catatan 10.14 saat (s) untuk berada di tempat kelima daripada lapan peserta selepas melakukan 10.19s di separuh akhir sebelum itu.
Apa yang lebih membanggakan, semalam Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s sekali gus mengungguli saingan bagi saringan lapan dan melangkah ke peringkat separuh akhir.
Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat pelari pecut muda negara Muhammad Azeem Fahmi yang menduduki tempat kelima pada saingan akhir acara 100m Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali.
“Apa yang lebih membanggakan, kejohanan kali ini secara tidak langsung menyaksikan Muhammad Azeem berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada sesi saringan lapan dengan catatan masa 10.09s.
“Sesungguhnya ia merupakan satu pencapaian mengujakan seluruh rakyat Malaysia yang senantiasa menyokong perjalanan karier Muhammad Azeem selaku wira atlet muda negara.
“Justeru, saya berpandangan bahawa bakat serta kebolehan Muhammad Azeem perlu terus digilap supaya lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa akan datang. KBS akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara,” kata Ahmad Faizal.