KUALA LUMPUR | Pengarah Operasi Pilihan Raya BERSATU Johor, Badrul Hisham Shaharin membidas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan isu kluster mahkamah dan 1MDB sebagai sudah basi.
Beliau yang dikenali sebagai Chegu Bard berkata, kes 1MDB dan rasuah yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah ketika ini bukan merupakan isu politik yang boleh ‘basi’, tetapi tentang jenayah pengkhianatan wang rakyat.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi komen rakyat terhadap laporan berita berkenaan termasuk mengecam kenyataan bekas menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan.
“Semalam Sinar Harian menyiarkan kenyataan Timbalan Presiden Umno yang nyatakan isu berkaitan pendakwaan korupsi pemimpin Umno sudah basi dan perlu dilupakan atau jangan dilayan.
“Laporan itu mendapat respon lebih 6,000 komen dan majoriti telah memberi komen mengecam kenyataan bekas MB Negeri Sembilan itu.
“Walaupun selepas angka beberapa ribu cubaan cytro pro #klustermahkamah termasuk dengan akaun palsu cuba masuk menyokong namun ia tenggelam dengan ribuan ‘real comments’ mengecam yang masuk menderu,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata, ia petanda jelas bahawa rakyat ingin melihat penjenayah yang terlibat dengan skandal 1MDB dan rasuah dihukum serta wang negara dikembalikan.
Kelmarin, media melaporkan, Mohamad menyifatkan isu kluster mahkamah dan 1MDB yang dibawa oleh pembangkang sudah basi.
Beliau turut mengambil contoh semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini di mana rakyat di dua negeri berkenaan sudah tidak mempedulikan isu terbabit.
Katanya, ini disebabkan isu berkenaan sering digunakan oleh pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH).
“Orang dekat Johor, Melaka tak peduli lagi dah 1MDB. Bahkan orang menderu berkerumun (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.
“Orang dah tak kisah lagi, cerita dah basi dah. Cerita orang kata terlampau digunakan,” katanya.