KUALA LUMPUR | Sayap Armada BERSATU menegaskan kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan hasrat untuk menyambung prosiding di mahkamah untuk membatalkan kelayakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang kerana bertukar dan keluar parti.
Exco Armada BERSATU, Harris Idaham Rashid berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan mendapati tindakan-tindakan tersebut tidak sama sekali menjejaskan kelayakan seseorang sebagai wakil rakyat.
“Memandangkan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat, mereka perlu membuktikan komitmen mereka dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Serta tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai oleh kesemua 209 Ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut, termasuklah Ahli Parlimen dari DAP sendiri,” katanya dalam kenyataanm hari ini.
Dalam pada itu, Harris yang juga Ketua Penerangan Armada BERSATU Pulau Pinang berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telahpun diluluskan di Dewan Rakyat untuk memberi makna yang jelas berkenaan tindakan-tindakan yang boleh melucutkan seseorang itu daripada terus menjadi Ahli Parlimen.
Katanya, BERSATU menyokong penuh pindaan itu.
“Pindaan ini jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya orang itu dipecat oleh parti politik yang dianggotai.
“Antara lain, seorang Ahli Parlimen juga tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya parti politik yang dianggotainya membuat keputusan dasar untuk menukar penjajaran dan sokongan terhadap sesebuah gabungan,” katanya.
Tambahnya, kes yang melibatkan empat Ahli Undangan Negeri Pulau Pinang jatuh di bawah pengecualian pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 49A.
Katanya, parti yang dianggotai oleh ADUN Bertam dan Telok Bahang telah membuat keputusan dasar untuk menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan.
Manakala, beliau berkata ADUN Seberang Jaya dan Sungai Acheh telah dipecat oleh PKR.