PETALING JAYA | Selepas tujuh tahun, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi: Kesihatan Ibu dan Anak (NHMS MCH) kembali dilaksana.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata pelaksanaan pengumpulan data tersebut akan berlangsung selama tiga bulan bermula 9 Ogos hingga 31 Oktober 2022 dengan melibatkan 14,000 isi rumah di seluruh negara.
Jelasnya, beliau menjangkakan kira-kira 32,000 responden akan ditemu ramah dengan rumah responden akan dipilih secara rawak mengikut data disediakan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Sebanyak 70 pasukan pengumpul data akan menjalankan aktiviti pengumpulan data secara serentak.
“Setiap pasukan bergerak menggunakan sebuah kenderaan berpelekat rasmi NHMS MCH dengan masing-masing seorang penyelia lapangan, seorang jururawat dan dua orang penemu ramah terlatih.
“Semasa aktiviti pengumpulan data, ahli pasukan pengumpul data akan melawat rumah rumah terpilih. Aktiviti pengumpulan data ini melibatkan temu ramah bersemuka dan pengisian borang soal selidik jawab sendiri.
“Ia juga melibatkan pemeriksaan rekod kad kehamilan dan kad imunisasi kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan bagi kanak-kanak seperti pengukuran antropometri dan perkembangan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Ibu dan Anak, di sini pada Khamis.
Antara topik utama ialah penjagaan kesihatan wanita berusia 15-49 tahun, ibu dan anak terakhir berusia dua tahun serta kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
Tambah beliau, hasil tinjauan dijangka dapat membekalkan data berasaskan bukti menyeluruh berkaitan tahap kesihatan wanita, ibu dan kanak-kanak, bagi membolehkan KKM menilai program kesihatan sedia ada untuk penambahbaikan.
“NHMS MCH diharap dapat memberi maklumat serta trend terkini untuk bantu KKM memperkukuhkan lagi perkhidmatan khusus untuk wanita, ibu dan anak-anak. Ini adalah satu perkara yang baik,” katanya.