TAIPING | Sebanyak 31 kes kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) yang diklasifikasikan sebagai serius membabitkan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Katanya, kesemua kes AEFI serius itu juga sudah pulih dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan lanjut di hospital.
“Kes AEFI ini memang ada, tetapi sikit dan kebanyakannya akan alami demam, bengkak serta sakit sikit dan itu sesuatu yang biasa.
“Setakat ini statistik menunjukkan kes serius 31 sahaja, sementara ribuan lagi kesan ringan.
“Ini menunjukkan vaksin yang kita guna sangat selamat dan adalah wajar untuk kita berikan kanak-kanak vaksinasi untuk melindungi mereka daripada jangkitan kuman serta penyakit yang teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak di ruang lobi AEON Mall Taiping di sini, pada Jumaat.