KUALA LUMPUR | Sebanyak 100 topi keledar percuma diagihkan kepada kanak-kanak dalam Parlimen Titiwangsa di sini, semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, inisiatif itu yang telah dilaksanakan buat kali kedua bagi memupuk kesedaran masyarakat serta mendidik kanak-kanak tentang kepentingan pemakaian topi keledar.
Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU Malaysia berkata, pemakaian topi keledar itu demi keselamatan di jalan raya.
“Terima kasih kepada Yayasan Perintis Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Semoga inisiatif dan kerjasama dapat diteruskan kelak demi manfaat warga Parlimen Titiwangsa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Terdahulu, beliau hadir dalam Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan Taman Maluri dan Program Penyampaian Helmet Anak-anak Kita anjuran Yayasan Perintis Malaysia dan juga Pusat Khidmat Ahli Parlimen Titiwangsa.