ALOR SETAR | Seramai 200 peniaga kesal dengan keputusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang mahu merobohkan hampir 40 gerai peniaga Melayu di Taman Wira, di sini.
Wakil Badan Pengurusan dan Kebajikan Peniaga-Peniaga, Nor Hafizam Md Rejab berkata pihaknya ada memohon penangguhan sebelum ini namun tidak diendahkan pihak majlis.
Nor Hafizam berkata ini berikutan kesemua peniaga mahu mencari pendapatan bagi menampung kehidupan seharian tatkala negara sedang dalam pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
“Kami merayu dan memohon jasa baik Datuk Bandar Alor Setar Datuk Zaid Ahmad agar menangguhkan perobohan gerai kekal sepertimana yang diarahkan pihak majlis.
“Ini disebabkan tempoh yang terlalu singkat diberikan kepada kami untuk membuat persiapan yang sebaik mungkin.
“Kami juga memohon supaya diadakan satu perbincangan antara MBAS dan wakil peniaga agar rintihan kami dapat disuarakan dan mencari titik penyelesaian permasalahan yang kami hadapi,” katanya selepas menghantar memorandum rayuan di pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar, hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian BERSATU Alor Setar Dzowahir Abd Ghani.
Nor Hafizam berkata serahan memorandum itu adalah jalan terakhir untuk wakil peniaga mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Bandar.
“Saya berharap perkara ini dapat pertimbangan Datuk Bandar.
“Sesalinan memorandum turut diserahkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk perhatian beliau,” katanya.
Sementara itu, Dzowahir ketika ditemui berkata beliau menyerahkan kepada Datuk Bandar untuk memberi maklum balas segara kepada wakil peniaga.
“Setakat ini memo telah diserahkan kepada Datuk Zaid Ahmad oleh wakil peniaga.
“Salinan kita akan bawa kepada MB Kedah selaku Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Kedah untuk tindakan susulan,” katanya.