PADANG SERAI | BERSATU Kedah mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru Israel ke atas Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak.
Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata serangan kejam Israel ini jelas melanggari undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera memberikan tekanan mendalam kepada Israel untuk menghentikan serta merta pencerobohan dan keganasan ke atas rakyat Palestin.
“Masyarakat antarabangsa mesti terus mengecam Israel atas serangan provokasi yang mementingkan diri sendiri dan dasar apartheid terhadap hak asasi, kehidupan, mata pencarian serta maruah semua rakyat Palestin dari pelbagai agama di tanah air mereka sendiri. Tidak boleh ada pendekatan berbeza dalam menangani sebarang konflik.
“Kami juga sentiasa menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta solidariti teguh bersama rakyat Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun adalah antara 15 orang yang terkorban dalam pengeboman itu, manakala lebih 120 lagi cedera, dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Jumaat lalu.