DAMANSARA | Seramai 700 ejen Mamasab seluruh negara diraikan dalam Majlis Mamasab Grand Award yang diadakan di sini, hari ini.
Program ini dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan turut hadir pengasas Mamasab, Siti Noor Sabrina Soobri.
Rina berkata pencapaian Mamasab dalam memenuhi citarasa pengguna menerusi rangkaian produk di bawah jenama ini wajar dijadikan sumber inspirasi kepada yang lain.
Ini kerana, kata Rina, situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara memberi ilham penerokaan peluang baharu menerusi pelbagai inisiatif dalam menarik minat masyarakat setempat khususnya kaum wanita untuk menyertai Mamasab dalam mempromosikan produk-produk makanan yang dikeluarkan.
“Syabas atas inisatif ini, tanpa mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada kerajaan, bahkan turut menyumbang untuk membantu wanita lain dalam menjana pendapatan.
“Inilah alternatif yang perlu dicontohi oleh usahawan-usahawan wanita di Malaysia.
“Wanita perlu terus memperkasakan keupayaan mereka. Wanita harus menjadi kreatif dan inovasi dalam mencari jalan penyelesaian dalam setiap masalah yang didepani,” katanya.
Hadir sama Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Shaharuddin Sohot, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, Chua Choon Hwa.