LANGKAWI | BERSATU terus komited dan sentiasa mengutamakan agenda membahagiakan rakyat serta meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya.
Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya kurang berpolitik walaupun ada ketikanya ‘tersentuh’ dengan pihak lain yang tidak berpegang pada janji.
“BERSATU adalah parti yang kurang berpolitik dan fokus kita kepada rakyat kerana banyak agenda transformasi dan amanah (rakyat) yang perlu diselesaikan.
“Tidak dinafikan, kami pada peringkat parti, (terutama) penyokong parti ada rasa ‘tersentuh’ apabila ada perkara dijanjikan tidak dipenuhi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata demikian ketika menjawab soalan kemungkinan Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan pada waktu terdekat.