KOTA BHARU | Kelantan akan melaksanakan projek penggantian paip lama iaitu paip jenis simen asbestos (AC) kepada paip baru melalui pakej pertama yang dianggarkan sepanjang 103.01 kilometer dengan kos RM61.5 juta.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Azami Mohd Nor berkata penggantian itu bertujuan mengatasi isu bekalan air di negeri itu dengan kawasan terlibat ialah Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Katanya berkata proses pelantikan kontraktor dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan projek berkenaan dijangka siap pada Mac 2024.
“Saya berharap pelaksanaan projek ini dapat mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) dan seterusnya mengurangkan kebocoran paip di kawasan terlibat,” katanya.
Azami berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Pakej 1 penggantian paip lama seluruh Kelantan di Surau Taman Indah di Tanah Merah hari ini.
Menurutnya projek itu dilaksanakan berikutan kebanyakan paip di Kelantan merupakan paip AC yang telah berusia dan merupakan satu daripada faktor menyebabkan NRW.
“Kajian telah dibuat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi penukaran paip lama secara berperingkat dan penukaran ini akan melibatkan dua pakej dengan Pakej 2 di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan.
“Kerajaan Kelantan mengambil berat isu bekalan air dan sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh negeri,” katanya.
-SUMBER: Bernama