SEPANG | Lebih 100 wanita, yang terdiri daripada kaum India dari sekitar Sepang, hadir menyerta Program Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata program kali ini julung kali diadakan dengan memfokus kepada komuniti wanita berbangsa India daripada pelbagai peringkat umur.
Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU Malaysia berkata sebilangan besar daripada mereka memang mengusahakan perniagaan termasuk berniaga nasi lemak, kedai runcit, menjahit pakaian dan ada juga peniaga online.
“Mereka yang hadir sangat bersemangat mahu menambah pendapatan mereka dengan berniaga menerusi Program Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM.
“Menerusi bantuan perniagaan sebanyak RM500 di bawah geran My Kasih Kapital ini, saya amat berharap mereka dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Pesan saya pada mereka, carilah ilmu untuk berniaga dan terus cekal kerana untuk berjaya, pelbagai cabaran perlu ditempuhi, dan perlu saling menyokong,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron dan Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Malaysia, Datuk A Chandrakumanan.
Rina berkata beberapa rakan-rakan strategik Yayasan Kebajikan Negara berkongsi pengalaman dan ilmu perniagaan kepada para peserta.
“Semoga menjadi inspirasi dan menjadi lonjakan untuk peserta ini melipat gandakan pendapatan mereka,” katanya.