KUALA LUMPUR | BERSATU mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil yang sering membangkitkan setiap hari isu pembubaran Parlimen dengan mengaitkan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata mereka tidak berhak untuk masuk campur dalam urusan rasmi kerajaan kerana bukan merupakan ahli kerajaan.
“Tindakan mereka membangkitkan hari demi hari isu pembubaran Parlimen. Bukankah ini adalah suatu bentuk ugutan terhadap Perdana Menteri? Bukankah usul untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen merupakan budi bicara Perdana Menteri?
“Mereka bukan merupakan ahli kerajaan dan tidak ada sebarang urusan rasmi dengan kerajaan. Namun, mereka seringkali mendahului Perdana Menteri. Ini adalah urusan antara PN dan Perdana Menteri, bukannya urusan antara ahli UMNO yang tiada peranan dalam kerajaan.
“Oleh itu, apabila Isham Jalil dan Ashraf Wajdi bercakap bagi pihak Ismail Sabri, mendahului Perdana Menteri, dan memberi amaran kepada BERSATU serta mendakwa tuntutan PN sebagai suatu ugutan, maka jelas di sini mereka tidak faham perbezaan peranan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan juga ahli UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki percaya BERSATU dan PN tidak akan berani menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kemudian, Isham Jalil berkata UMNO memberikan bayangan bahawa sudah bersedia sekiranya PN mahu menarik sokongan dalam kerajaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Suhaimi berkata perkara pembubaran Parlimen tiada kaitan dengan parti.
Katanya, UMNO sedang berlagak seolah-olah urusan mentadbir negara adalah di bawah mereka, bukannya di bawah kerajaan Persekutuan.
“Saya menyarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendidik dengan betul pemimpin di bawahnya seperti Asyraf Wajdi dan Isham Jalil untuk membuka mulut di waktu yang perlu.
“Jika UMNO mahu membincangkan isu pembubaran Parlimen ini dengan Ismail Sabri, maka ia harus di bincangkan secara tertutup kerana ini bukan urusan parti tetapi urusan kerajaan.
“Oleh itu di sini kita jangan terkeliru dengan dakwaan bahawa PN sedang mengugut Perdana Menteri, walhal yang sebenarnya kepimpinan UMNO lah yang sedang mengugut Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya.