JOHOR BAHRU | BERSATU Johor mendesak petualang atau pihak bertanggungjawab dalam skandal perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) atau Kapal Tempur Pesisir bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tampil kehadapan.
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan kapal LCS adalah amat mengejutkan.
Beliau juga berkata pihak terbabit perlu mengambil tanggungjawab dengan membuat kenyataan penuh atas kecuaian yang dilakukan sekali gus kegagalan menjaga kepentingan negara.
“Sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS yang telah disenaraikan oleh PAC menerusi laporan tersebut tidak boleh diterima oleh rakyat, selain memberikan kesan negatif terhadap moral warga TLDM.
“Bagaimanapun, perolehan LCS ini perlu diteruskan kerana ianya merupakan perolehan kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara seperti yang dimaklumkan oleh pihak TLDM dalam kenyataan media bertarikh 6 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sahruddin berkata bagi memastikan perolehan LCS ini dapat disiapkan sepenuhnya berdasarkan jadual yang baharu berserta pertambahan kos yang minimal, sebuah ‘taskforce’ perlu diwujudkan bagi melakukan penelitian dan pemantauan projek secara terperinci.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan agar menjalankan
siasatan dengan pantas bagi memastikan isu ini dapat dirungkaikan dengan segera memandangkan ianya telah menjadi skandal ketirisan yang menjadi bualan rakyat.
“Sudah tentu rakyat ingin mengetahui mengapa bayaran oleh pihak kerajaan sebanyak RM6.083 billion bagi projek runding terus ini telah dilakukan, tetapi sehingga kini tiada kapal telah diserahkan kepada pihak TLDM.
“Selain itu, isu ini telah mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan sebagai pihak atasan yang tidak menerima pandangan TLDM sebagai ‘end user’ untuk menggunakan rekabentuk SIGMA berbanding GOWIND,” katanya.