KUALA LUMPUR | Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris meluahkan kegembiraan walaupun gementar selepas diminta menggalas tugas sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara untuk hari ini.
Razali berkata beliau diminta menggalas tugas itu hanya untuk hari ini kerana Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mempunyai tugasan di luar kawasan.
Katanya, beliau ditugaskan bergilir-gilir bersama Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bagi mengendalikan Dewan Negara.
“Semasa dipilih dalam persidangan Dewan Negara, agak gementar juga.
“Tetapi apabila berada di kerusi Speaker Dewan Negara, perasaan gugup hilang dan laksana amanah dengan sempurna,” katanya kepada Penerangan BERSATU.
Dalam pada itu, Razali berkata menjadi Timbalan Speaker Dewan Negara untuk hari ini adalah satu pengalaman sangat penting.
Katanya, ini kerana hari ini di Dewan Negara beliau terlibat dalam memutuskan Rang Undang-Undang (RUU).
“Terima Kasih kepada Tan Sri Speaker Dewan Negara (Tan Sri Rais Yatim) kerana memberi kepercayaan. Terima kasih,” katanya.