KUALA LUMPUR | Ahli Dewan Negara dari BERSATU mahu semua pihak berhenti mengaitkan dan mempersoalkan mana-mana Ahli Parlimen dengan isu lompat parti sebaik Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diwartakan selepas ini.
Datuk Razali Idris yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ketika membahaskan usul RUU peringkat bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini, menjelaskan, ramai Ahli Parlimen dikategorikan sudah melompat parti sebelum ini, khususnya selepas berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Contohnya, kata beliau, Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang asalnya adalah dari Barisan Nasional (BN) dan keluar dari gabungan itu selepas PRU lalu, sebelum kembali menjadi sebahagian kerajaan hari ini.
“Pada 2018, kerajaan BN di Sabah juga jatuh sebab ada yang keluar sertai Parti Warisan (WARISAN). WARISAN tidak boleh tubuh kerajaan ketika itu sekiranya tiada lompatan dua atau tiga orang daripada BN untuk bersama mereka apabila kerajaan PH jatuh,
“Saya harap dengan pindaan ini, sejarah lompatan yang tidak bermaruah, memalukan dihentikan dan akhirnya kita mengangkat politik yang matang dan tidak laku lagi tawar menawar apa pun sekali selepas ini.
“Dengan sokongan ini, seharusnya tidak ada lagi mana-mana pihak menyalahkan sesiapa atau mengaitkan Ahli-ahli Parlimen dengan isu lompat parti. cukuplah dengan menjenamakan macam-macam tuduhan, terutama Ahli Parlimen yang berpindah parti pada sebelum akta ini diwujudkan,” katanya turut menggesa supaya RUU ini segera diwartakan sebelum PRU ke-15 akan datang.
Berbeza dengan sesi perbahasan RUU ini di Dewan Rakyat sebelum ini, tiada mana-mana wakil rakyat dari BERSATU mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU ini.
Sementara itu, Datuk A Kesavadas Nair, yang juga Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan mencadangkan supaya pemotongan peruntukan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan dalam RUU itu diteliti semula.
“Pemotongan adalah penting untuk memastikan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti tidak dapat bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRU bagi tempoh tertentu.
“Apa ertinya kita mewujudkan sekatan pertukaran parti politik terhadap Ahli Dewan Rakyat tetapi pada masa sama, Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahlian kerana bertukar parti, masih boleh menjadi calon pilihan raya bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini,” katanya.
Di bawah RUU itu, Fasal baharu (3) diwujudkan bertujuan untuk memotong Fasal (6) Perkara 48, bagi membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat dan dengan demikian kehilangan kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai. SUMBER: BERITA HARIAN