WASHINGTON | Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meluahkan kekecewaan apabila kediamannya di Florida ‘digeledah’ oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Lapor BBC, Trump menerusi kenyataan rasmi memaklumkan kediaman Mar-a-Lago di Palm Beach ‘diserbu oleh sekumpulan besar ejen FBI’.
Penggeledahan itu dilaporkan mempunyai kaitan dengan penyiasatan terhadap Trump mengendalikan kertas kerja rasmi. Pemeriksaan penguatkuasaan undang-undang semakin meningkat terhadap Trump ketika beliau bersiap-sedia berhadapan kemungkinan pemilihan Presiden ketiga pada 2024.
Menurut CBS News, Trump berada di Menara Trump di New York City semasa serbuan dilakukan semalam.
“Ini adalah masa depan yang gelap bagi negara kita,” katanya. Trump berkata, beliau memberikan kerjasama dengan semua agensi kerajaan selama ini dan menyifatkan ‘serbuan tanpa sebarang makluman adalah tidak bersesuaian dan tidak patut berlaku’.
Jelasnya, tindakan tersebut adalah ‘salah laku pendakwaan’ dan ‘persenjataan Sistem Keadilan’ bagi menghalangnya daripada bertanding di White House.
“Serangan seperti itu hanya boleh berlaku di negara dunia ketiga yang sudah rosak. “Malangnya, AS kini menjadi seperti negara tersebut dan berada pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“FBI malah memecah masuk peti besi saya,” katanya. SUMBER: AGENSI