MOSCOW: Seorang wanita nyaris maut selepas tercampak keluar dari tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang bergerak di jalan raya sibuk di selatan Russia.
Lapor Daily Mail, ketika kejadian, wanita itu sedang bersandar pada tingkap kenderaan yang sedang bergerak untuk melakukan tarian gelek.
Pada mulanya, wanita itu dilihat mengeluarkan separuh badan di luar tingkap penumpang kenderaan Mitsubishi Pajero, sebelum memulakan aksi tariannya lalu terjatuh dengan bahagian kepala mengenai atas jalan raya terlebih dahulu.
“Kepalanya terhantuk di jalan raya, namun tidak mengalami cedera parah kerana sempat bangun dan berlari ke arah Pajero ketika pemandu lain berhenti untuk membantunya.
“Dia mungkin dilanggar kereta lain sekira kenderaan sekitarnya bergerak laju,” jelas laporan itu.
Insiden di Makhachkala, ibu kota Dagestan mencetuskan kemarahan warganet dalam media sosial.
“Tarian berbahaya tidak membawa kebaikan, terutamanya dilakukan di jalan raya sehingga keluar dari tingkap kereta,” lapor saluran News Dagestan.
Seorang pengguna media sosial pula berpandangan penduduk tempatan perlu menjaga kelakuan dengan lebih bersopan.
Pemandu kenderaan itu, Sharap Kurbanov, 24, kemudian dipaksa meminta maaf secara terbuka kerana melanggar peraturan lalu lintas. SUMBER: AGENSI