KUANTAN | Kerajaan disyorkan membentang kertas putih di Dewan Rakyat berhubung isu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Ketua Bahagian BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, selain siasatan menyeluruh, usul tergempar juga perlu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat kerana skandal ini melibatkan penipuan berbilion ringgit wang rakyat.
“Bukan sahaja penyelewengan berlaku tetapi skandal ini juga memberi gambaran yang tidak baik kepada Sultan Perak yang melancarkan kapal separa siap pada 2017 lalu.
“Kita juga tidak jelas dengan jalan penyelesaian kepada skandal ini. Kenyataan terbaru Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kapal akan diserahkan dalam masa satu hingga dua tahun bercanggah kerana kapal berlainan yang disebut.
“Saya berpandangan usul tergempar di Dewan Rakyat harus dibentangkan termasuk kertas putih berkaitan penyelewengan ini. Rakyat berhak tahu perkara sebenar terutama melibatkan wang rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan setebal 247 muka surat berhubung LCS dan antaranya terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.
Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.
“Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.
“Memetik kenyataan Panglima Tentera Laut pada ketika itu, Laksamana Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar, keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak kena,” jelas laporan terbabit.
Mengulas lanjut, Jasri berkata, setelah membaca rumusan PAC, beliau percaya rakyat tidak dapat menerima skandal perolehan yang merosakan perancangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta rancangan menjaga kedaulatan negara juga terancam.
“Ketirisan yang berlaku sudah tentu memberi gambaran buruk kepada negara terutama setelah skandal kewangan terburuk di dunia 1MDB yang merosakan imej negara.
“Jumlah RM6.083 bilion bukan sikit dan sehingga kini satu pun kapal masih tidak diserahkan kepada pihak TLDM. Kemanakah wang berbilion ini hilang? Bagaimanapun perolehan ini perlu diteruskan kerana ia kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.