BACHOK | Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan kejadian di Jalan Wakaf Aik, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Mohammad Naufal Zafran Abdul Fattah patah tulang selangka sebelah kanan dan luka-luka pada bahagian badan serta dirawat di HUSM Kubang Kerian.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, dalam kemalangan itu kanak-kanak berkenaan yang juga pejalan kaki melintas jalan dan pada masa yang sama kenderaan pelbagai guna Proton Exora yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah Besut menghala ke Pengkalan Chepa.
Katanya, apabila sampai di Jalan Wakaf Aik, seorang kanak-kanak telah melintas jalan menyebabkan pemandu Proton Exora terus mengelak ke kanan dan bertembung dengan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.
“Dalam masa yang sama kanak-kanak pejalan kaki telah merempuh sisi kanan hadapan Proton Exora.
“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering dan pemandu Proton Exora dalam perjalanan dari arah Besut hendak menuju ke Pengkalan Chepa selepas selesai menghantar penumpang di Jeti Kuala Besut.
“Ketika melalui lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki dewasa yang sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak berada di bahu jalan sebelah kiri laluan. Apabila pemandu meneruskan pemanduan, tiba-tiba kanak-kanak lelaki itu merentap tangan dan terlepas dari genggaman lelaki dewasa itu lalu berlari melintasi laluan menyebabkan kemalangan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.