BINTULU | Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang telah diluluskan di Dewan Negara semalam, dilihat memberi kebaikan kepada BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan BERSATU Sarawak, Lt Madya Maritim (B) Duke Janteng berkata kelulusaan itu juga dapat menyekat Ahli Parlimen daripada berpaling tadah selepas ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bintulu berkata, rakyat merasa dikhianati, kerana sering kali berlakunya pertukaran kerajaan.
“Ini merupakan satu perkembangan yang positif kepada landskap politik yang lebih dinamik dan matang.
“Yang paling memeritkan lagi apabila dasar dibuat kerajaan tidak lagi diterima malah menjadi momokan.
“Secara tidak langsung akan menyebabkan pentadbiran negara tergugat,” katanya kepada Penerangan BERSATU.
Mengulas lanjut, Duke berkata walaupun di suatu sudut yang lain tidak terdapat ‘hitam putih’, moraliti perlu dikekalkan dalam parti yang diwakili.
Katanya, jika pun berlaku sebaliknya, ia perlu kekal sehingga tamat penggal dan seharusnya mengosongkan kerusi jika berhasrat meninggalkan parti.
“Jika perkara ini tidak diendah, maka perpecahan parti berlaku ibarat ianya seperti perkara biasa dalam sesebuah parti.
“Parti akan rugi, tidak lagi dipercayai. Malah, dominasi parti akan lingkup dek kerana kepentingan individu melebihi kepentingan,” katanya.
Duke juga berharap agar ahli-ahli BERSATU dan PN mengambil RUU itu sebagai satu kepentingan.
Beliau yakin bahawa di atas kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemudi parti itu ke arah Prihatin Rakyat dan Pedulikan Rakyat.
Semalam, Dewan Negara meluluskan RUU itu selepas dibahas lebih tiga jam oleh 32 Ahli Dewan Negara, yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.
Undi belah bahagian peringkat bacaan ketiga yang dimulakan pada jam 5.43 petang, menyaksikan seramai 52 Ahli Dewan Negara menyokong, tiada yang tidak bersetuju dan tujuh tidak hadir.
Pada 28 Julai lalu, RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
RUU itu dijangka berkuat kuasa sebelum pertengahan September depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU itu yang selesai proses kelulusannya di Parlimen akan dikembalikan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi memohon perkenan baginda seperti diperuntukkan di bawah Perkara 66(3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebaik RUU itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara akan sekali lagi mempersembahkan permohonan kepada baginda untuk mendapatkan perkenan baginda supaya RUU ini dapat dikuatkuasakan.