KOTA BHARU | Seramai 14 individu termasuk pelajar Tingkatkan Tiga ditahan polis dalam serbuan dadah di sebuah apartment di Wakaf Che Yeh di sini, awal pagi tadi.
Mereka berusia antara 15 hingga 32 tahun itu ditahan pada jam 1 pagi oleh sepasukan pegawai bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak di atas maklumat dadah, polis menahan sembilan lelaki dan lima wanita.
Katanya, hasil pemeriksaan menjumpai 10 biji pil psikotropik seberat 1.15 gram, sebiji pil Erimin 5 dan 48 biji pil ecstacy dengan nilai keseluruhan RM450.
“Kesemua tangkapan berusia antara 15 tahun hingga 32 tahun yang mana melibatkan seorang pelajar sekolah menengah di daerah Tanah Merah.
“Hasil soal siasat, salah seorang daripada tangkapan mengaku dadah jenis pil Ekstacy adalah miliknya yang diperolehi daripada seorang lelaki Thailand yang dikenali semasa berhibur di sebuah kelab di Golok dan urusan jual beli juga di dalam sebuah kelab di Golok.
“Usaha mengesan dan tangkapan tidak berjaya kerana lelaki itu berada di Golok serta merupakan warganegara Thailand,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952.