KUALA TERENGGANU | Tiga mayat mangsa tragedi bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Redang Isnin lalu berjaya ditemui di Pulau Redang, semalam.
Mayat tiga mangsa itu ditemui sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, penemuan ketiga-tiga mayat mangsa tersebut di lokasi yang berbeza sekitar 1.7 batu nautika dari Pulau Redang oleh nelayan.
Katanya, identiti ketiga-tiga mayat mangsa yang dijumpai telah disahkan iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48, serta seorang mangsa selamat iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31.
“Sektor pencarian bagi operasi Carilamat yang memasuki hari kedua diperluaskan hingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak seperti Kapal Maritim (KM) Redang, pesawat Bombardier serta turut dibantu oleh lebih 10 bot nelayan tempatan.
“Pengkalan Hadapan Carilamat ditubuhkan di Pulau Redang dan usaha pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 6.30 petang semalam ntuk bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, dua lagi mangsa, Ahmad Zamri Ishak dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, masih belum ditemui.
Katanya, usaha pencarian di laut pada hari kedua ditangguhkan sekitar jam 7 petang akibat cuaca gelap dan disambung hari ini.
“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya menitik beratkan aspek keselamatan dan menyalurkan maklumat mengenai kecemasan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357,” katanya.