KUALA LUMPUR | Armada BERSATU Nasional berkata kewajipan penunggang p-hailing untuk mengambil lesen vokasional (GDL) pada setiap tahun akan menambah beban kepada para ‘rider’.
Exco Armada BERSATU Nasional, Asyraf Halim berkata ini kerana penunggang p-hailing perlu memperbaharui cukai jalan mereka setiap tahun.
“Sedangkan hal penyelenggaran motor yang langsung turut tidak ditanggung oleh syarikat p-hailing.
“Tiada juga perlindungan masa depan dalam aspek KWSP dan Socso yang dibantu caruman oleh syarikat yang membuat keuntungan dan segenap ini jelas satu penganiayaan kepada kelompok anak muda yang rata-ratanya mempelopori bidang p-hailing ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, jika kerajaan masih bertegas ingin melaksanakan GDL, ianya haruslah atas mekanisme yang tidak membebankan rider.
Beliau berkata Armada mencadangkan agar satu dasar khusus dengan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat e-hailing perlu dikuatkuasakan.
“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan Malaysia seakan mencalit garam ke luka apabila mahu mewajibkan para rider mengambil lesen GDL.
“Dengan cadangan terburu-buru ini tanpa mengambil kira dapatan para rider yang bertungkus lumus di bawah.
“Hal ini akan menatijahkan kos tambahan yang akan perlu ditanggung oleh para rider dalam pada syarikat e-hailing kekal membuat keuntungan yang besar hasil perit jerih ‘rider’,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf berkata kerajaan juga perlu meyingkap keperluan untuk syarikat-syarikat p-hailing ini untuk terus beroperasi di Malaysia bagi memperhalusi juga aspek kebajikan yang perlu ditanggung syarikat ke atas para rider.
Katanya, Armada dengan ini mendesak tindakan segera dari pihak Kerajaan, terutamanya Kementerian Pengangkutan Malaysia jika benar slogan Keluarga Malaysia adalah bukan suatu hal yang retorik dalam menjaga kemaslahatan masyarakat dalam negara ini.