Serena Williams, juara perseorangan grand slam 23 kali, membayangkan akan bersara daripada sukan itu selepas kejohanan tenis Terbuka AS tahun ini, lapor Agensi Anadolu.
“Saya kurang gemar dengan perkataan bersara. Ia bukan perkataan moden bagi saya. Saya ingin menyebutnya sebagai satu peralihan, tetapi mahu lebih berhati-hati akan cara saya menggunakan perkataan itu…,” kata Williams dalam satu temu bual dengan majalah Vogue pada Selasa.
“Mungkin perkataan terbaik untuk menggambarkan apa yang saya lakukan adalah evolusi. Saya ingin katakan bahawa saya secara perlahan-lahan ingin beralih kepada perkara lain yang penting bagi saya,” tambah Williams.
Williams, yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Alexis Olympia Ohanian Jr berkongsi di Instagram, berkata “kiraan detik untuk berundur telah bermula.”
Beliau amat gembira dengan sukan itu, namun mahu berundur kerana ingin menumpukan perhatian kepada anak dan dirinya sendiri.
Williams juga berkata beliau akan bersaing di Terbuka AS yang bermula pada penghujung Ogos.
“Sayangnya saya tidak bersedia untuk memenangi Wimbledon tahun ini. Dan saya juga tidak pasti sama ada sudah bersedia untuk memenangi New York. Tetapi saya akan mencuba. Dan persaingan pendahuluan akan menjadi menyeronokkan,” tulisnya.
Williams, yang menduduki tempat ke-407 dunia, memenangi 23 gelaran Grand Slam, termasuk enam Terbuka AS, dalam perseorangan wanita.
- SUMBER: Bernama