KUALA LUMPUR | Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Malaysia dan Jepun menerokai bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui projek dan program yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur (DPT).
Perdana Menteri berkata, ia termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau.
Beliau turut menyarankan kedua-dua dua negara meningkatkan kerjasama dalam isu berkaitan rantaian bekalan dan pembangunan industri halal melalui platform DPT.
“Pencapaian kerjasama yang melangkaui lebih empat dekad di antara Malaysia dan Jepun kini lebih tertumpu kepada bidang baharu selaras dengan revolusi teknologi yang memberi perubahan kepada landskap perindustrian dan ekonomi global.
“Kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) robotik, ‘autonomous system’ dan internet pelbagai benda (IoT) yang menyaksikan Jepun mempunyai kepakaran tinggi perlu dipertingkatkan. Ini akan dapat menjamin kemampanan DPT untuk tahun mendatang.
“Oleh itu, saya berharap kerajaan Jepun akan memberikan sokongan padu yang berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan melalui pelaksanaan projek usaha sama di bawah DPT,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis perasmian seminar perniagaan sempena ulang tahun ke-40 DPT yang turut dihadiri Naib Menteri Parlimen Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Iwata Kazuchika, di sini hari ini.
Malaysia memperkenalkan DPT pada 1982 sebagai suatu peralihan daripada pemodenan yang berpaksikan Barat kepada meneladani nilai Timur khususnya Jepun, manakala pengenalan DPT 2.0 pula dibuat pada 2013.
Jepun kini rakan dagang keempat terbesar negara dan menjadi antara sumber pelaburan asing yang utama bagi Malaysia.
Ismail Sabri turut mengenai isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik COVID-19.
Berdasarkan Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022, katanya, isu-isu berkenaan dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap cabaran global itu akan menjadi pencetus kepada pembentukan kerjasama DPT bagi kepentingan bersama, khususnya dalam bidang baharu bagi merancakkan aktiviti perdagangan supaya ekonomi kembali pulih dengan cepat.
Katanya, penerokaan kerjasama bagi menangani isu berkaitan rantaian bekalan boleh dilaksanakan melalui platform DPT dengan memanfaatkan jalinan perdagangan yang mendalam antara dua negara itu.
Beliau berkata, rantaian bekalan serantau berupaya menjadi lebih berdaya tahan melalui sokongan pelaburan, infrastruktur digital dan memudah cara pembangunan kapasiti ke arah memperkuatkan ketahanan rantaian bekalan tempatan.
“Pelaksanaan DPT juga menitikberatkan limpahan faedah yang seimbang kepada kedua-dua negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkatkan kerjasama dalam pembangunan industri halal dengan Jepun.
“Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halalnya,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, cabaran yang hadir sebenarnya mewujudkan peluang untuk lebih berinovasi seperti terbuktik apabila pandemik COVID-19 melanda.
“Sesungguhnya, setiap cabaran memberi peluang kepada kita untuk lebih berinovasi. Ini jelas apabila pandemik COVID-19 menyaksikan peningkatan dan perubahan penggunaan teknologi digital yang ketara dalam kehidupan harian kita pada masa kini,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN