KUALA LUMPUR | BERSATU Balik Pulau membuat laporan polis dengan menggesa siasatan terhadap video ancaman dikeluarkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dengan ‘amaran’ untuk mengambil dan memunggah kepentingan negara dengan pemberian ‘gula-gula’.
Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau Zolkifly Md Lazim berkata laporan polis itu dibuat atas ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dan ‘amaran’ yang dikeluarkan dalam video Konvensyen BN.
“Laporan polis BERSATU dibuat supaya polis siasat ancaman dalam video ini.
“Dan siasat sama ada penjawat awam sedang diugut dan diancam supaya memberi ‘gula’ kepada parti politik dan ahli politik,” katanya kepada Penerangan BERSATU selepas membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Barat Daya, di sini, semalam.
Beliau menggesa polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan juga di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Tambahnya, Bahagian BERSATU Balik Pulau sentiasa bersama rakyat Malaysia dan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.
Beliau juga berkata mereka sedia menghalang daripada berulang sejarah pemerintah kleptokrat lalu, di Malaysia.
Sebelum ini dalam Konvensyen BN Selangor, dalam ucapan tersebut Zahid menyebut ‘gula-gula’ yang dimaksudkan akan dibawa oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bendahari BN yang baru dilantik di Selangor.
Manakala Perdana Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula di dalam ucapannya menyebut ‘minyak’ akan dibawa oleh Perdana Menteri sedikit masa lagi dan percayalah dengan beliau sebagai perdana menteri.