KUALA LUMPUR | Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diberi peluang sekali lagi untuk menjadi Perdana Menteri, jika Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keyakinan itu disuarakan seorang penulis terkenal, C.N Afghani, bahawa rakyat masih menunggu pemimpin berprinsip yang mempunyai ciri amanah dalam Islam, seperti Muhyiddin, kembali mentadbir negara daripada dirosakkan pemimpin-pemimpin tertentu.
“Apabila Muhyiddin jadi PM, rakyat boleh menilai dan lihat perbandingan masa Tun Dr Mahathir jadi PM, Pak Lah PM, Najib PM.
“Rakyat boleh lihat Muhyiddin bawa satu yang lebih baik berbanding PM yang lepas. Saya lihat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi PM, pada saya dia bukan PM sebenar, dia ini sebagai boneka sahaja. Di belakangnya, ada tangan-tangan liar.
“Pemimpin-pemimpin liar ini, hari ini masih disanjung.
“Jadi, Muhyiddin mempertahankan haknya sebagai PM kerana tidak melayan kluster mahkamah untuk mencampuri urusan kes mahkamah,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan program wawancara bersama Mohamad Shafiq Abdul Halim yang disiarkan di Facebook, malam tadi.
Turut hadir, usahawan produk kesihatan Terengganu, Che Manan Ali.
Mengimbas kembali krisis politik sebelum terjadinya Langkah Sheraton, beliau berkata punca ketidakstabilan politik berlaku gara-gara Dr Mahathir meletakkan jawatan akibat tekanan pelbagai pihak daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Namun, katanya, Muhyiddin memikirkan nasib bangsa dan agama kerana merasakan ada sesuatu yang sangat mencabar maruah sekiranya terus ditadbir PH.
“Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai PM dari PH atas sebab tekanan, bukan sebab ditekan oleh Muhyiddin. Muhyiddin tak tekan Dr Mahathir. Yang tekan Dr Mahathir siapa? Anwar, Mat Sabu, Lim Guan Eng. Sampai Dr Mahathir jadi pening.
“Masa inilah Muhyiddin berbincang, saya hormat pada dia. Kalau Muhyiddin nak kuasa, nak kemewahan, dia pun dah jadi menteri, hebat dah. Tetapi apa yang berlaku dia memikirkan yang dibuat Menteri Kewangan PH terhadap bangsa dia, agama dia, dia merasakan ada sesuatu yang sangat mencabar maruah.
“Jadi, sebagai orang yang bertanggungjawab pada agama dan rakyat, kepada bangsa dia, dia ambil kesempatan selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan. Kalau Tun tak letak jawatan, kerajaan tebuk atap ini tak berlaku.
“Maka, Muhyiddin tunggu ruang untuk nak ambil alih kerajaan PH kepada kerajaan baru,” katanya.
Ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, katanya, beliau melihat ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengannya.
Memandangkan kini Muhyiddin memberi jawatan PM kepada UMNO, jelasnya, situasinya lagi memburuk.
“Tengok pada zaman Muhyiddin masa jadi PM, ada pihak tak puas hati. Kononnya kalau UMNO perintah, lebih baik daripada sekarang.
“Tapi sekarang dia bagi PM dari UMNO. Lagi teruk. Barang makin tinggi naik. Minyak pun naik juga,” katanya.